Monday, March 23, 2009

Harga untuk minda yang lapar

Baru-baru ini saya menonton satu ‘movie’ Cina berkisahkan peperangan. Ada satu watak pahlawan yang sangat handal di dalam movie ini. Apa yang menarik perhatian saya ialah pahlawan ini sangat berani dan handal di medan perang, tetapi apabila pulang ke kampung halaman, dia bekerja sebagai guru yang mengajar anak-anak orang miskin membaca. Tersentuh juga saya apabila menonton watak sebegini kerana watak pahlawan dan guru untuk kanak-kanak selalunya adalah besar jaraknya.

Paling menarik hati saya ialah apabila seorang kanak-kanak kecil berkepala botak menyoal pahlawan ini semasa sedang belajar membaca buku beramai-ramai. Kata kanak-kanak ini, “Cikgu, kenapa kita sibuk belajar membaca sedangkan membaca tidak boleh membuat perut yang lapar ini kenyang?”

Pahlawan ini tersenyum sambil berkata, “Kau masih kanak-kanak lagi. Apabila kau sudah dewasa nanti, kau akan tahu bahawa kalau kita belajar membaca hari ini, kita akan kenyang pada hari-hari yang akan datang, bukan kenyang hari ini.”

Bagi saya, kata-kata ini membawa maksud yang sungguh mendalam.

  • Pertama, membaca adalah satu proses menuntut dan menimba ilmu. Sudah pasti ia tidak mengenyangkan serta merta.
  • Kedua, kanak-kanak selalunya masih tidak faham mengapa pentingnya menuntut ilmu sekarang. Ini disebabkan mereka membandingkan proses menuntut ilmu dengan sesuatu yang lebih menyeronokkan seperti bermain atau makan.
  • Ketiga, timbul persoalan di minda saya, kalau kita mahu betul-betul kenyang suatu hari nanti, berapa banyak ilmu yang perlu kita timba?

Berbelanja ke arah pendidikanApabila asyik memikirkan tentang perkara ini, saya nampak lojiknya mengapa pelajar biasanya tidak nampak kepentingan menuntut ilmu sekarang. Saya faham kenapa pelajar tidak sanggup belanjakan RM15 untuk membeli kamus dan lebih rela membeli prepaid handphone. Saya faham mengapa pelajar tidak sanggup membeli buku dan lebih sanggup membeli makanan ringan atau tiket wayang.

Namun yang lebih membimbangkan, begitu ramai juga orang dewasa yang masih berfikiran seperti kanak-kanak ini. Maksud saya, mereka tidak sanggup berbelanja ke arah sesuatu yang mengenyangkan minda mereka. Malah ada orang dewasa yang tidak pernah keluarkan sesen pun ke arah kemajuan minda mereka sejak mereka tinggalkan zaman persekolahan.

Saya percaya, jika kita mahu maju seperti bangsa-bangsa lain di Malaysia dan di dunia, kita perlu bersedia untuk berbelanja untuk ilmu. Tidak perlu hairan jika kita belanja RM15, RM30, RM100 atau RM200 untuk belajar sesuatu. Jika kita bercakap besar tentang harga-harga yang kita bayar itu tadi untuk menuntut ilmu, bangsa lain akan mengetawakan kita kerana mereka berbelanja 10 hingga 100 kali ganda lebih besar daripada itu. Sebagai contoh, bagi bangsa lain, saya lihat harga purata yang dikenakan untuk program pembangunan diri untuk seorang ialah antara RM700 hingga RM1500 sehari. Mereka sanggup keluarkan belanja tersebut kerana mereka dapat lihat betapa banyak masa dan tenaga yang dapat dijimatkan apabila menghadiri program yang membolehkan mereka berdepan dengan pakar dalam sesuatu bidang.

Jimat masa dan tenaga? Bagaimana?

Contohnya, saya biasa mendengar rungutan penganjur program sama ada pihak sekolah, kolej atau universiti mengenai kos program sebanyak RM1500 sehari. Peserta yang hadir adalah antara 100 hingga 200 pelajar.

Berbelanja ke arah pendidikanKatakanlah saya ambil jumlah yang paling kecil, 100 orang pelajar. RM1500 jika dibahagikan dengan 100 orang pelajar, hasilnya menunjukkan kos seorang pelajar ialah RM15. Katakan program ini tidak mahu dijalankan kerana terlalu mahal. Ambil RM1500 itu dan berikan kepada 100 orang pelajar tadi. Jadi setiap pelajar akan menerima RM15. Persoalannya, apakah yang mampu diperolehi oleh pelajar tersebut dengan duit RM15 tersebut? Beli buku? Mungkin dapat beli sebuah buku sahaja. Mahu tuisyen? Saya pasti ia tidak cukup. Mahu makan? Kenyang selama 3-4 jam sahaja.

Katakanlah seorang pelajar dapat RM150 sekalipun dan mereka mampu membeli 10 buah buku seorang, berapa lamakah masa yang perlu diambil untuk membaca dan memahami 10 buku tersebut? Berapa banyakkah tenaga yang perlu digunakan? Apa pula akan jadi jika mereka tidak faham apa yang dibaca? Bolehkah ilmu-ilmu tersebut dikuasai?

Persoalan ini semua banyak memberi pengajaran kepada diri saya sendiri terutama jika saya terasa berat untuk mengeluarkan belanja bagi mempelajari sesuatu. Selagi kita masih berkira untuk membayar harga untuk minda yang lapar, selagi itulah kita akan jauh ketinggalan berbanding bangsa-bangsa yang begitu kenyang minda mereka.

Dipetik dari blogger.

No comments: